MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 SEPT: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di kawasan persisiran persisir laut sepanjang Pelabuhan Klang, pada 10 sehingga 12 September dan 9 hingga 11 Oktober ini.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, fenomena itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk, sekali gus berisiko bencana banjir berlaku, di kawasan penempatan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, Pejabat Daerah dan Tanah Klang sudah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Induk bersama semua agensi terbabit antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, Jabatan Meteorologi dan Unit Pengurusan Bencana Selangor.

Beliau berkata, susulan daripada mesyuarat itu, satu lawatan sudah diadakan pada 3 September lalu bertujuan meneliti dan melihat keadaan fizikal serta keutuhan ban berisiko tinggi seperti di Pengkalan Tok Muda dan ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar.

“Jabatan Bomba dan polis juga akan mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Pos Kawalan Hadapan (PKH) bagi menyelaras anggota serta aset kegunaan operasi pemindahan yang sesuai supaya boleh digunakan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, katanya, penduduk di kawasan terbabit dipohon supaya tidak khuatir serta dinasihatkan berjaga-jaga.

“Jika arahan perpindahan dimaklumkan, penduduk diminta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berikut adalah kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena Air Laut Pasang Besar pada 10-12 September ;

1. Pengkalan Tok Muda
2. Ban Sementa
3. Ban Sungai Keramat, Batu 5, Jalan Kapar
4. Jalan Pandamaran
5. Taman Selat Damai
6. Pelabuhan Klang
7. Kampung Perepat – Jeti Nelayan Kampung Perepat
8. Northport, Pelabuhan Klang
9. Pulau Ketam
10. Telok Gong

Kawasan penempatan sekiranya diarahkan berpindah adalah seperti berikut ;

1. Dewan Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar
2. Sekolah Rendah Agama, Kampung Sementa
3. Sekolah Rendah Agama, Kampung Batu 4
4. Dewan Orang Ramai, Jalan Palembang, Rantau Panjang
5. Dewan Dato’ Ahmad Razali, Kampung Batu 4
6. Dewan Bandar Sultan Sulaiman
7. Dewan Kompleks Sukan Pandamaran
8. SJK (Cina) Lee Min, Kampung Telok Gong

Kemaskini Terakhir: Selasa, 13 November 2018 - 9:48am