MENU


Antara pencemaran yang dikesan di premis kilang kitar semula itu.
 

KLANG – Tindakan jahat dua kilang barangan kitar semula membuang sisa industri ke saliran longkang sehingga mencemar bau mengundang padah apabila diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) kelmarin.

Dalam serbuan berasingan bermula pukul 9 pagi itu, kedua-dua kilang di Telok Gong, Pelabuhan Klang dan Jalan Kapar tersebut didapati beroperasi tanpa lesen.

Jarak kedua-dua kilang dianggarkan lebih 20 kilometer.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, serbuan itu hasil maklumat pasukan khas ditubuhkan pihaknya dalam mengesan mana-mana kilang yang melakukan pencemaran di daerah berkenaan.

Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah kilang di Telok Gong, Pelabuhan Klang bermula kira-kira pukul 9 pagi.

“Setibanya di lokasi itu, pasukan kita segera membuat pemantauan menyeluruh di sekitar kawasan premis tersebut.

“Siasatan mendapati kilang itu melakukan aktiviti kitar semula secara tidak sah dan melakukan pencemaran longkang dan bau hasil pembuangan yang ditapis tanpa mengikut prosedur ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Norfiza memberitahu premis itu dikenakan tindakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) (MPK) 2007 dan notis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambahnya, serbuan berikutnya yang dijalankan di kilang di Jalan Kapar di sini kira-kira pukul 2 petang turut dikesan melakukan kesalahan sama.

“Kita mengeluarkan notis henti aktiviti serta-merta kepada pemilik premis mengikut Undang-Undang Akta Kerajaan Tempatan 171,” katanya.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kilang beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan pihak akan memastikan semua kilang mematuhi peraturan ditetapkan sekali gus mengelak berlaku pencemaran. – K! ONLINE

Sumber : Kosmo!
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Selasa, 24 November 2020 - 9:24pm