MENU


Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Klang pada 19 Mei 2020.
Foto Media Selangor

SHAH ALAM, 19 MEI: Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin hari ini mengangkat sumpah sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 April lalu.

Majlis angkat sumpah berlangsung di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Klang sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.3/2020.

Dalam ucapannya, Dr Ahmad Fadzli menyasarkan penjenamaan semula Klang, langkah pemulihan pasca Covid-19, menambah baik sistem penyampaian dan memperkasakan Sistem Pengaduan Awam.

“Besarlah harapan saya agar ahli majlis memberi kerjasama dua hala bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien dan cekap kepada rakyat Klang secara amnya.

“Sekiranya timbul sesuatu isu atau masalah, perlu dirujuk kepada MPK terlebih dahulu untuk kita selesaikan bersama tanpa membelakangkan peraturan atau undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga bekas ketua kluster pembangunan pengurusan dan inovasi Institut Tadbiran Awam Negara menggantikan Dato’ Mohamad Yasid Bidin yang dipindahkan pertengahan November 2019.

Sumber : SelangorKini
Link : https://selangorkini.my/2020/05/dr-ahmad-fadzli-angkat-sumpah-yang-dipertua-baharu-mpk/

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 25 September 2020 - 9:24pm