MENU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 25 JAN: Tiada lagi amaran, sebaliknya premis kediaman dan perniagaan yang didapati terdapat takungan pembiakan nyamuk Aedes akan dikenakan kompaun serta merta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tindakan tegas itu diambil Majlis Perbandaran Klang (MPK) ekoran peningkatan kes denggi yang mendadak di daerah terbabit.

“Majlis juga memaklumkan akan mengambil tindakan segera kepada premis termasuk kediaman dan kali ini kita tidak akan beri lagi amaran seperti sebelumnya tetapi terus kompaun atau denda terhadap mereka yang membiarkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Sebelum ini, beberapa amaran dah dikeluarkan, kempen dah dibuat, gotong rogong juga dibuat namun ada yang degil dan alpa, jadi kita ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Tanah dan Daerah Klang di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga merancang merombak kembali pelan memerangi denggi apabila pelan sedia ada didapati kurang efektif mengawal wabak denggi.

Sebelum itu, Mesyuarat MMKN yang berlangsung selama hampir tiga jam itu turut dihadiri beberapa EXCO Kerajaan Negeri.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm