MENU

KLANG: Penduduk Klang khususnya dari Jalan Teluk Pulai dan Jalan Raya Barat bakal menggunakan laluan alternatif untuk ke Shah Alam dan Kuala Lumpur secara terus melalui Jambatan Kota.

Ini berikutan satu bulatan baharu yang sedang dibina oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di atas Jalan Hamzah berhampiran Padang Ceti, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin, berkata dengan pembinaan bulatan baharu itu, pengguna yang menuju ke Jambatan Kota tidak perlu lagi melalui pusat bandar Klang atau Jalan Tengku Kelana seperti sebelum ini.

Katanya, pembinaan bulatan yang bermula Ogos lalu dan dijangka siap penghujung Januari tahun depan menelan belanja kira-kira RM350,000.

“Pembinaan bulatan ini bakal memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk Klang dan laluan alternatif kepada pengguna melalui Jalan Teluk Pulai dan Jalan Raya Barat yang selama ini menggunakan Lorong Perbandaran.

“Bulatan ini membantu mereka supaya tidak perlu lagi melalui pusat bandar Klang dan juga Jalan Tengku Kelana yang selalu sesak.

“Jadi, pengguna boleh terus melalui bulatan ini menuju ke Shah Alam dan Kuala Lumpur melalui Jambatan Kota,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil. 11/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Elya Marini berkata, sebelum ini kawasan terbabit agak sesak dan pihak MPK menerima banyak aduan dari orang awam terutama penduduk Klang.

“Pembinaan ini adalah salah satu cara penyuraian trafik di kawasan berdekatan terutama Padang Ceti dan Jalan Tengku Kelana yang sememangnya sesak, sempit dan laluan keluar masuk sesak.

“Penutupan Lorong Perbandaran juga satu alternatif memudahkan pengguna jalan raya di situ termasuk pejalan kaki melintas jalan. Lorong itu hanya dibuka mengikut waktu yang ditetapkan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu katanya, kerja menaik taraf di Stadium Kota Raja yang berharga kira-kira RM4 juta dimulakan pada 12 Oktober 2018 dan dijangka siap Disember depan.

“Komponen projek naik taraf adalah ‘track’ , ‘grandstand’ dan naik taraf padang sudah hampir siap sepenuhnya, tinggal lima peratus lagi iaitu kerja lebih kepada kemasan dan sentuhan akhir, kerja-kerja utama sudah pun selesai,” katanya.

Oleh Ruwaida Md Zain

bhnews@bh.com.my

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 13 Disember 2019 - 7:18pm