MENU

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 8 JAN: Akibat sesuka hati membuang sampah di belakang premis, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mahu bertemu pemilik premis di Pekan Seri Andalas dalam masa terdekat.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap pemilik premis sehingga menyebabkan kawasan lorong belakang premis itu kotor dengan longgokkan ratusan botol kosong dan sampah sarap lain yang tidak diurus sempurna.

“Lebih teruk apabila ada penagih dadah yang mengambil kesempatan dengan menjadikannya sebagai ‘port’ mereka.

“Hasil tinjauan juga mendapati ada gelandangan yang menjadikan kawasan belakang premis sebagai tempat tinggal, keadaan ini sebenarnya menyebabkan orang awam di kawasan sekitar berasa tidak selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Program Gotong Royong di Pekan Seri Andalas bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan juga penduduk setempat.

Mohd Zawawi berkata, beliau merancang menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatasi masalah berbangkit di lokasi sama.

Katanya, imej Pekan Seri Andalas perlu dibaikpulih kembali menjadi kawasan yang lebih bersih dan selamat.

“Kawasan terbabit memang agak besar dan terdiri daripada pelbagai jenis perniagaan. Namun, saya berharap supaya pemilik premis memberi kerjasama dan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm