MENU

POLIS Daerah Klang Selatan memberi jaminan kepada penduduk sekitar daerah berkenaan terutama masyarakat India supaya berurusan dengan selesa di Jalan Tengku Kelana sempena sambutan Deepavali, Selasa ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya sudah membuat persediaan menerusi Ops Cahaya yang akan bermula esok sehingga 6 November.

 

“Kawasan sekitar Jalan Tengku Kelana menjadi tumpuan apabila tiba musim perayaan terutama malam sebelum Deepavali dan kami mahu kawasan ini dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden.


 

“Penduduk Klang boleh datang membeli-belah dengan selesa dan selamat kerana polis akan melakukan kawalan sebaik mungkin bukan sahaja di jalan utama, malah di kawasan lorong antara bangunan kedai di situ,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan di Jalan Tengku Kelana di Klang, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia untuk sambutan Deepavali peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Jalan Tengku Kelana, Ahad ini.

Katanya, pegawai dan anggota secukupnya akan ditugaskan bukan sahaja untuk menjaga pentas utama, tetapi kawasan lain seperti tempat letak kenderaan.

“Kami menyediakan Balai Polis Bergerak sepanjang Ops Cahaya ini. Justeru penduduk boleh membeli-belah tanpa rasa bimbang kerana anggota polis sentiasa bersedia,” katanya.

Dalam sesi berkenaan, Shamsul Amar melawat kira-kira 30 kedai di kawasan turut digelar ‘Little India’ dan meluangkan masa beramah mesra bersama pemilik kedai.

Turut hadir, Presiden Persatuan Usahawan Little India (Jalan Tengku Kelana), N P Raman.

 


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:06 PM

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 20 September 2019 - 5:32pm