MENU

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 SEPT: Unit Bencana Daerah Klang bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar di kawasan berpotensi dinaiki air khususnya di dua kampung utama, Kampung Tok Muda dan Kampung Sungai Serdang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau dan pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi tempoh tiga hari ini dan akan bertindak segera jika paras air laut naik tinggi.

“Kita mempunyai wakil di setiap tempat untuk memaklumkan kita berlakunya air pasang besar. Semalam ada kebocoran benteng di Kampung Tok Muda.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan kerja-kerja baik pulih benteng tersebut dan saya sendiri sudah melihatnya. Buat masa ini keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan hujan turun di kawasan darat di Kapar mengurangkan risiko banjir tetapi pihaknya tetap memberikan perhatian serius terhadap kemudahan jika terpaksa memindahkan penduduk setempat.

Ini termasuk kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan RELA.

Untuk rekod, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 24 September 2018 - 4:42pm