MENU


PREMIS menjual peralatan dan aksesori rokok elektronik di Rantau Panjang diserbu polis. FOTO Ihsan Polis

SEMBILAN pelanggan dan dua pekerja premis menjual peralatan dan aksesori rokok elektronik dikompaun RM1,000 seorang apabila ditahan dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, bertindak atas aduan orang ramai, premis terletak di Rantau Panjang itu diserbu pada 2 petang.

Beliau berkata, ketika serbuan, sembilan pelanggan dan dua penjaga berada di dalam premis dan semua mereka dikompaun.

“Premis itu diarahkan tutup dan disita serta tindakan diambil atas kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tren Perlesenan dan Perindustrian kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Sebanyak 34 pemeriksaan premis dilakukan PDRM bersama MPK sepanjang dua hari sehingga pagi ini membabitkan kawasan Rantau Panjang.

“Ini kerana kawasan Rantau Panjang mencatatkan jumlah yang ramai positif Covid-19, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, sejak Jumaat lalu sehingga 8 pagi hari ini, 83 individu dikenakan tindakan kompaun RM1,000 membabitkan 49 kompaun pada Jumaat, sebanyak 33 dikeluarkan semalam dan satu kompaun pada pagi hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh sama sebanyak 20 tangkapan dibuat ke atas individu ingkar PKP termasuk seorang wanita warga asing.

“Semalam, polis menangkap seorang wanita warga Indonesia di sekatan jalan raya di Lebuhraya Selat Klang.

“Katanya, dia ambil teksi dari Ipoh datang ke Klang untuk jumpa kakak yang kemalangan. Bila kita hubungi nombor diberikan perempuan itu, pemilik nombor tidak kenal wanita yang ditangkap,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 82 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk saman kemalangan, tiada lesen, tidak memakai topi keledar, tiada lesen GDL, tidak memasang tali pinggang keledar.

Sumber : Harian Metro