MENU

KLANG, 3 OGOS: Hampir 2,000 orang memeriahkan acara ‘flashmob’ bertemakan Keretapi Sarong dengan masing-masing berpakaian tradisional Malaysia, pada program Retro Klang 2019 sempena sambutan Hari Kemerdekaan, tidak lama lagi.

Kumpulan ‘Flashmob’ terbabit berkumpul di Kuala Lumpur Sentral seawal 8.15 pagi sebelum memulakan perjalanan menaiki komuter ke stesen Klang.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, selain memperkenalkan kebudayaan, acara itu juga bagi mempromosi keistimewaan yang ada di Selangor terutama Bandar Diraja Klang.

“Retro Klang yang memasuki tahun kelima penganjurannya secara tidak langsung akan menggalakkan pelancong untuk melawat pusat pelancongan setempat antaranya Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang sememangnya mempunyai pelbagai khazanah milik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Malah, saya yakin penganjuran program seperti ini turut berfungsi sebagai mangkin untuk menjana kemajuan sektor pelancongan negeri dengan pertambahan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara, dalam usaha mencapai sasaran 7.7 juta pelancong ke Selangor tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada sidang media selepas merasmikan Retro Klang di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohd Yasid Bidin; Pengerusi Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Ibni Tengku Azman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, beliau optimis acara berkenaan bukan yang terakhir, namun akan terus ditambah baik bagi memastikan ia terus berkembang dan menjadi salah satu ‘signature event’ dalam diari pelancongan Selangor.

Retro Klang 2019 dianjurkan Unit Perancang Ekonomi Selangor, Local Companion (LOCCO), KTMB, MPK, Tourism Selangor dan Majlis Kebudayaan Selangor.

Selain ‘flashmob’, aktiviti lain turut diadakan antaranya persembahan Joget Selangor, demonstrasi kuih Selangor, permainan tradisi, ‘mini treasure hunt’ dan pameran koc sewa Keretapi Tanah Melayu Berhad di galeri diraja terbabit.

Program itu turut disertai oleh rakan komuniti LOCCO, pelajar perubatan Ramsay Sime Darby Healthcare College, pelajar jurusan fesyen Tunku Abdul Rahman University College, Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu, Kumpulan Komuniti Blogger dan gerakan sosial Suspended Meal.