MENU


Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (tengah) bergambar bersama pegawai penguasa banci pada program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Dewan Teluk Pulai, Klang pada 17 September 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
 

KLANG, 18 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) giat mempromosikan e-Census, kaedah bancian secara dalam talian bagi mengurangkan kadar interaksi secara bersemuka, kata yang dipertuanya.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata ia berikutan negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Kaedah ini bermula pada 7 Julai lalu dan berakhir 30 September ini, maka saya berharap individu yang sudah mengisi soal selidik melalui e-Census agar dapat menguar-uarkannya kepada orang ramai.

“Kita percaya kaedah ini disambut baik oleh semua orang kerana kita mahu mengelakkan temu bual secara bersemuka bersesuaian pelaksanaan PKPP ketika ini,” katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia di Dewan Teluk Pulai di sini semalam.

Beliau menambah kerjasama orang ramai dapat memenuhi objektif pelaksanaan Banci 2020 untuk mengumpul profil penduduk dan perumahan negara.

“Soal selidik ini akan menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sosioekonomi seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Banci 2020 membabitkan 32.7 juta penduduk Malaysia dengan 6.5 juta daripadanya di Selangor dan kos pengendalian dianggarkan RM413 juta yang digunakan bagi projek pembangunan, pembelian sistem serta operasi termasuk pembayaran kepada pembanci juga penyelia terbabit.

Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini