MENU


Majlis Perbandaran Klang bersama Lembaga Urus Air Selangor (JPS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor susulan dakwaan potensi berlakunya pencemaran.

SHAH ALAM, 9 SEPT: Tiada pencemaran berlaku di Sungai Klang berhampiran kilang dekat Sungai Pinang, Klang setakat ini, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata siasatan mendapati longkang premis kilang berada dalam keadaan baik dan tiada kesan minyak serta pelepasan dilakukan ke Sungai Klang.

Katanya, siasatan dilakukan susulan tular di media sosial yang mendakwa sebuah kilang di Sungai Pinang, Klang berada di rizab sungai serta berpotensi menyebabkan pencemaran.

“Setakat pemantauan dan pemerhatian yang dibuat sehingga kini, tiada pencemaran yang berlaku, namun pemantauan terhadap kilang-kilang berisiko akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, siasatan juga mendapati premis berkenaan tidak berada dalam rizab sungai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Fadzli berkata operasi jam 9 pagi tadi mengesan tempat pembiakan jentik-jentik di kawasan kereta lusuh yang digunakan sebagai benteng sempadan sungai.

“Sampel jentik-jentik sudah dibawa ke makmal, kompaun akan dikeluarkan sekiranya ia didapati nyamuk aedes,” katanya.

Terdahulu, MPK melakukan operasi bersepadu terhadap kilang di Sungai Pinang, Klang bersama Lembaga Urus Air Selangor (JPS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Semalam, sebuah badan bukan kerajaan memuatnaik hantaran di Twitter dengan mengatakan sebuah kilang di Sungai Pinang, Klang terletak di dalam rizab sungai serta berpotensi melakukan pencemaran sungai.

Status berkenaan turut dikongsi Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi Twitternya dan memaklumkan pihaknya akan turun padang bersama Jabatan Alam Sekitar bagi siasatan lanjut.

Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini