MENU


Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK): Foto: MPK

KLANG, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan lebihan hasil berbanding perbelanjaan sebanyak RM69 juta sehingga 31 Julai 2020.

Yang dipertuanya berkata lebihan itu disebabkan beberapa langkah penjimatan diambil di samping tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berjaya melakukan beberapa penjimatan yang menyokong lebihan hasil seperti tidak membeli kenderaan baharu, meningkatkan simpanan di dalam bank, membekukan pembelian komputer baharu selain pelaksanaan PKP sejak Mac lalu,” kata Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajuddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bilangan 6/2020 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi.

Beliau menjelaskan sehingga Julai 2020, jumlah hasil adalah sebanyak RM230.5 juta iaitu pencapaian prestasi 93 peratus berbanding sasaran bajet tahunan RM246.7 juta.

Manakala prestasi perbelanjaan sebenar adalah RM161.5 juta iaitu pencapaian prestasi 58 peratus berbanding bajet tahunan berjumlah RM279.1 juta.

Bagi kutipan hasil cukai taksiran, MPK berjaya mengutip RM122.6 juta sehingga 20 Ogos 2020 berbanding kutipan berjumlah RM154.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Dr Ahmad Fadzil berkata penurunan hasil taksiran itu disebabkan pengecualian cukai yang diumumkan Kerajaan Negeri sebelum ini akibat pandemik Covid-19 dan pihaknya berusaha mengutipnya semula sehingga penghujung tahun.

Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini