MENU


Ahmad Fadzli (dua kiri) bersama wakil IPD Klang Utara dan Selatan menggunakan peralatan khas memotong peralatan judi hari ini.

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini melupuskan sebanyak 359 barang sitaan melibatkan pusat hiburan, perjudian dan snuker bernilai RM1.3 juta di pekarangan bangunan penguatkuasanya di sini.

Menurut Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, barangan itu melibatkan peralatan sistem audio, permainan video berupa simulator dan peralatan snuker.

Katanya, kesemua barang sitaan yang dilupuskan ini adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan MPK bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan bagi tempoh dua tahun bermula 2017 hingga 2018.

“Pelaksanaan tindakan sitaan terhadap barang-barang itu dibuat kerana melanggar undang-undang mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 1998 dan 2001) dan Peraturan-peraturan (Permainan Snuker dan Video)(Kawalan dan Penyeliaan)(Selangor) 1998.

“Tindakan pelupusan yang dijalankan ini mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Proses pelupusan turut disertai wakil polis dari IPD Klang Utara dan Selatan. – K! ONLINE

Sumber : Kosmo
Sila klik pautan di sini