MENU

SHAH ALAM, 27 SEPT: Pengguna Selangor yang berpendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah boleh terus menikmati air percuma melalui pendaftaran antara 30 September hingga 31 Disember 2019.

Pendaftaran baharu ini diperkenalkan dalam usaha penjajaran semula program air percuma, yang dinamakan Skim Air Darul Ehsan, bermula pada 1 Mac tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, proses itu bagi mengumpul dan mengemaskini data pemohon yang layak melalui semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semakan silang butiran pemohon dengan LHDN bermula tahun depan, selepas tempoh pendaftaran ditutup.

“Pemohon akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 1 Mac 2020.

“Sehingga tarikh berkenaan, 1.6 juta pemegang akaun yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebat itu sehingga 29 Februari 2020,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pengguna boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my.

Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan boleh juga dimuat turun atau diperolehi melalui saluran berikut:

• Laman web: www.airselangor.com
• Kaunter Perkhidmatan di semua sepuluh pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
• Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Negeri
• Hubungi talian 15300 untuk pertanyaan dan bantuan

Borang permohonan yang diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui e-mel kepada iprair@airselangor.com atau diserahkan di kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.

Amirudin juga berkata Skim Air Darul Ehsan dibuat bagi mencapai matlamat asal untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Dalam belanjawan negeri tahun lalu, tambahnya, Dewan Negeri Selangor meluluskan penjajaran semula program air percuma bagi “meringankan beban kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan dan layak.”

“Selain itu, Skim Air Darul Ehsan ini juga akan dapat menyasarkan golongan yang amat memerlukan, di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

“Penjajaran ini adalah perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan,” katanya.