MENU

OLEH UMIRAH IZRIN

KLANG, 8 MAC: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Majlis Perbandaran Klang (MPK) disaran melaksanakan program berasaskan sukan dan ekonomi.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, aktiviti sukan dan ekonomi seperti jualan kraftangan, batik dan pameran mampu menyatupadukan belia.

“Justeru, PeBT bertindak sebagai medium Kerajaan Negeri dan MPK kepada belia bagi melaksanakan sebarang aktiviti.

“PeBT merupakan landasan terbaik menarik golongan muda sekali gus, melahirkan belia yang berwibawa dan bermatlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Semarak Kasih Penghargaan Ahli Majlis dan PeBT 2019 di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedia membantu PeBT melalui pelbagai bantuan fasiliti jika diperlukan.

Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis Perbandaran Klang dan 21 ahli PeBT melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

IBR julung kali diadakan bagi memupuk sifat tanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah.