MENU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 DIS: Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) Sekolah Rendah dan Menengah di bawah pengurusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula dibuka bagi permohonan secara dalam talian, hari ini.

LZS menerusi Facebook memaklumkan, sumbangan berkenaan sama seperti sumbangan Bantuan Umum pelajar Sekolah Rendah dan Menengah (BUP) yang diwujudkan, sejak tahun 1994 lagi.

Katanya, beberapa penambahbaikan dilakukan dan diluluskan Jawatankuasa Operasi Agihan termasuk Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, pada Mei dan Jun lalu.

“Objektif SPZAS adalah untuk membantu golongan berpendapatan pertengahan daripada segi pendidikan di mana golongan ini adalah golongan yang hampir kepada kemiskinan.

“Selain itu, sumbangan diberikan untuk mengurangkan kos pendidikan kepada pelajar, seterusnya sebagai galakan kepada golongan pertengahan untuk membayar zakat selaras dengan bantuan agihan zakat juga turut diagihkan kepada mereka,” katanya.

SPZAS Sekolah Rendah dan Menengah adalah inisiatif terbaharu Divisyen Pembangunan Asnaf bagi membantu meringankan beban bayaran yuran persekolahan anak, khususnya penduduk di Selangor yang tergolong dalam kelas B40.

Dalam kenyataan sama, LZS turut mengingatkan pemohon supaya membaca dan memahami syarat permohonan terlebih dahulu selain menyertakan dokumen lampiran yang betul.

“Pemohon lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor tidak kurang daripada tiga tahun.

“Permohonan hanya dibuka untuk tanggungan di peringkat persekolahan Pra sekolah/Tadika (5-6 tahun sahaja), Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Agama (7-12 tahun sahaja) serta Sekolah Menengah (13-17 tahun sahaja).

“Pendapatan seisi rumah melebihi daripada Haddul Kifayah dengan julat lebihan tidak melebihi jumlah maksimum RM3,000,” katanya.

Katanya, asnaf fakir, miskin dan muallaf yang pernah menerima tajaan pendidikan daripada LZS tidak boleh memohon bantuan terbabit.

Info lanjut berhubung permohonan itu, boleh terus melayari laman sesawang di https://spzasrm.zakatselangor.com.my

Borang sokongan berkaitan boleh dimuat turun di sini:

Borang Pengesahan Pelajar
https://drive.google.com/file/d/1YO4clNvTri0UoAzjnwwXw4vj8hvSnBNY/view

Borang Pengesahan Pemastautin https://drive.google.com/file/d/1Wg0JI8_rpQgyz-LX2kWqXOCQ3GKZvxkI/view

Borang Pengesahan Pendapatan
https://drive.google.com/file/d/1IXgBKjKJbDh6rzXF6_gAu_CasPmeTqC9/view