MENU

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) merampas pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM5,000 di Taman Bayu Perdana, Klang.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, serbuan dilakukan anggota penguat kuasa di kedai berkenaan ekoran menerima aduan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan yang peka dengan isu terbabit.

Katanya, aduan mendakwa botol minuman keras dibuang merata di sekitar kawasan itu hingga membahayakan keselamatan orang ramai.

“Serbuan sekitar jam 10 malam dilakukan di kedai yang menjadi tumpuan warga asing dan tempatan dan kita merampas 57 botol minuman keras pelbagai saiz, jenama dan harga dengan nilai RM5,000.

“Kedai berkenaan diberi kompaun dan tempoh satu bulan untuk menuntut balik barang rampasan daripada MPK dengan syarat mereka mempunyai lesen serta dokumentasi lengkap,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, kedai terbabit diserbu kerana beroperasi tanpa kebenaran MPK juga Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta berdasarkan siasatan, premis itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, , jika dalam tempoh itu mereka gagal mengemukakan dokumentasi lengkap untuk menuntut barangan rampasan, MPK akan mengambil tindakan melupuskan barangan terbabit.

Mengikut Undang-undang Kecil, pesalah boleh dikenakan kompaun RM1000, dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000.